Wednesday, August 24, 2011

Cerpen Ramadhan #2 - Kejutan Ramadhan

Nurul memandang jauh ke luar tingkap. Hujan masih turun renyai-renyai. Kamil suaminya masih belum pulang dari pejabat. Sepatutnya dia sudah tiba setengah jam tadi, tapi entah mengapa, begitu lambat sekali sampai suaminya itu. Dia cuba menghubungi telefon bimbit Kamil, tetapi suara telefonis yang mengangkat telefon itu terasa begitu menjengkelkan. Tambah mendebarkan apabila Kamil memberitahu ada hadiah istimewa untuk Nurul sejurus sebelum talian diputuskan tadi.

Nurul masuk kembali ke biliknya. Memandang susuk tubuh di hadapan cermin. Masih cantik tubuh badannya. Potongan seperti anak dara masih bergetah. Tak mungkin suaminya akan meninggalkannya untuk perempuan lain getus hatinya. Walaupun bergelar isteri kedua, dia yakin dia yang memiliki 100 peratus hati suaminya. Rumah banglo mewah di Forest Height yang di beri nama Villa Nurul menjadi bukti cinta suaminya hanya untuknya. Nurul melayan perasaan di hadapan cermin bilik soleknya itu.

Nurul masih ingat saat Kamil melamar dirinya tidak lama dahulu. Katanya Nurul adalah segalanya, tanpa Nurul segala apa yang Kamil lakukan bagai tidak lengkap. Malah gurauan Kamil yang sanggup terjun tanpa segan silu berenang merentasi tasik Putarjaya demi membuktikan cintanya di saat ingin melamarnya masih kekal di ingatan. Tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya Kamil telah berjanji untuk pulang beraya di rumah Ibu Nurul sebelum ke rumah ibu Salmah. Perempuan kampung yang juga isteri pertama Kamil.

Bunyi deruman enjin kereta di hadapan rumah mengejutkan Nurul dari lamunannya. Kamil sudah pulang agaknya, getus hati Nurul. Dalam kelam-kabut ingin pergi membuka pintu untuk suami tercinta, sempat juga Nurul menyembur wangian Forbidden Affair Anna Sui pemberian suaminya untuk ulangtahun perkahwinan yang lepas. Kata suaminya, hubungan mereka ibarat hubungan terlarang, yang dilarang itu yang menambah kemanisan dalam percintaan mereka.

Nurul membuka pintu. Dia mencium tangan suaminya tetapi terpegun seketika. Tiba-tiba,  perempuan di belakang suaminya menghulurkan tangan. Perempuan itu mencium tangan nya. Sebelum sempat dia membuka mulut untuk bertanya kepada suaminya, Kamil menerangkan punca kelewatan beliau pada petang itu. Rupanya Kamil yang baru pulang dari Perlis tadi adalah untuk menguruskan pernikahannya dengan Nor. Gadis genit molek dari perlis itu telah menawan hati suaminya untuk dijadikan isteri ketiga Kamil. Kamil juga meminta maaf kerana tidak memberitahu Nurul terlebih dahulu. Kamil akan menghantar Nurul pulang ke rumah ibu-bapanya sebelum meneruskan perjalanan ke Perlis semula untuk ke rumah ibu-bapa Nor. Segalanya berlaku dengan pantas. Sedikit-demi sedikit, pandangan Nurul mula gelap.

No comments: